Wednesday, May 11, 2011

7 PERKARA WUDU` BATIN

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan  sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau  ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang  dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang  selalu dirasakan kurang khusyuk.  Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al- Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan  solat?"
Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan  batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"  Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua  anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh  anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat

2. menyesali dosa yang dilakukan

3. tidak tergila-gilakan dunia

4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. tinggalkan sifat berbangga

6. tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan  semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh  kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di  sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di  belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di  atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku  kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir  dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku  ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh  pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku  bersolat selama 30 tahun."  Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya  yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

No comments:

Post a Comment